UMPSA Kumpul Dana Bantu Pelajar Palestin

sumbangan palestinNaib Canselor UMPSA, Profesor Datuk Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin (kanan) menyerahkan sumbangan sebanyak RM 15,000 kepada Yasin Y.Albarqouni (tengah)

PEKAN –  Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menggerakkan usaha mengumpul dana buat pelajar dari Palestin, Yasin Y. Albarqouni.

Naib Canselor UMPSA, Profesor Datuk Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin berkata ,usaha itu sebagai menzahirkan keprihatinan terhadap nasib pelajar dari negara Palestin itu merupakan penuntut Ijazah Falsafah Kedoktoran (PhD), Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses di UMPSA.

Dr. Yuserrie turut berpeluang bertanyakan khabar bagi mendapatkan perkembangan terkini keluarga Yasin di sana dan mengenai peperangan di bumi Palestin sejak 7 Oktober lalu. ”Sumbangan ini merupakan hasil kutipan inisiatif Institut Pengajian Siswazah (IPS) dan Yayasan UMP daripada kempen yang telah digerakkan sejak Oktober lalu daripada warga UMPSA dan masyarakat luar.

”Serahan sumbangan warga universiti RM15,000 kepada Yasin telah dibuat dan pihak UMPSA akan terus memberi sokongan dan dorongan buat pelajar ini termasuk kemudahan penginapan di dalam kampus,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Tambahnya, usaha tersebut akan diteruskan untuk membantu Yasin dan keluarganya agar dapat meringankan beban yang dialami dan mendoakan agar bumi Palestin dapat terus dipertahankan. Selain itu, universiti itu juga prihatin terhadap usaha membantu pelajar ini semasa di dalam kampus agar tidak menganggu pengajian. “Dalam masa yang sama prihatin terhadap nasib rakyat Palestin sebanyak RM52,000 berjaya dikumpulkan.

”Ia menerusi sumbangan anak syarikat UMPSA berjumlah RM30,000 serta sebanyak RM22,000 berjaya dikumpul dalam kalangan warga universiti untuk tabung rakyat Palestin,” katanya.Tambahnya keluarga Yasin yang terdiri daripada kedua ibu bapanya, isteri, adik dan seorang anak kini masih berada di selatan Gaza.

Difahamkan Yasin berhasrat untuk membawa keluarganya ke Malaysia memandangkan beliau kini masih dalam pengajian dan berterima kasih kepada pihak Yayasan UMPSA dan seluruh rakyat Malaysia yang memberi sumbangan ini. – MalaysiaGazette


Print   Email